Share

Menjaga anak2 sendiri merupakan tanggungjawab besar di dalam kehidupan yang menuntut perhatian & keringat yang cukup banyak. Kerjaya juga pastinya segmen yang besar yang dengan sendirinya sangat demanding. Sebagai seorang pengaturcara web yang mempunyai 5 orang anak yg diasuh sendiri dan kadangkala menjaga anak2 susuan yg lain (pada tahap umur yang berbeza2 dengan keperluan yang berbeza2), rutin dan program tertentu tidak cukup dalam membantu kehidupan seorang usahawan seperti saya yang jadual harian tidak boleh tetap dan sentiasa ada kejutan. Saya kekalutan ... saya sedang mencari formula menjadi wanita hebat!


BUKAN SUPER-HUMAN

Selaku seorang manusia biasa, kita hanya mampu berikan 100% di dalam kehidupan kita. Jika kita memberikan 60% kepada urusan peribadi dan keluarga, maka kita hanya ada 40% untuk kerjaya dan selebihnya. Apa akan jadi jika kita sangat kiasu di dalam pekerjaan dan memperuntukkan lebih peratus kepada kerjaya? Pastinya peratus untuk ibadah, keluarga & sebagainya semakin kecil, kerana kita bukan super-human!

Jadi saya kembali tertanya2 ... bagaimana para ibu yang begitu sukses di dalam kerjaya mereka, travel ke sana ke mari atas dasar kerja, pergi kerja awal & pulang lewat malam ... apakah tidak terjejas masa mereka bersama keluarga? Apakah sedikit jam di dalam sehari dan 'masa berkualiti' itu sememangnya memadai untuk perkembangan anak2 & hubungan rapat ibu & anak? Saya memikirkan keadaan bagi kes2 tertentu, terutamanya bagi ibu2 yang hanya dapat mengunjungi anak2 di hujung minggu atau lewat malam. Bagi kes sebegini, tugas2 keibuan terpaksa diserahkan kepada pihak lain seperti pembantu, ibu sendiri, tempat asuhan, dsb. Saya tertanya2 apakah formula mereka kerana di dalam keadaan saya sekarang yang menjaga anak2 sambil membuat kerja, saya sedang struggle ... saya dapati saya tidak mampu memberikan yang terbaik, terutama dari aspek keibubapaan, dan saya kecewa.

Saya memahami terdapat keadaan tertentu di mana wanita diperlukan untuk bekerja - untuk mengisi ruang pekerjaan yang 'perlu ada wanita' seperti pakar sakit puan, perguruan, perbidanan, dsb, dan untuk membantu suami menampung kehidupan keluarga yang terdesak. Namun begitu, apabila wanita memberikan peratus yang lebih besar dalam kehidupannya untuk kerjaya sedangkan bekerja itu hanya sekadar untuk lebih mewah, atau untuk membuktikan yang 'wanita juga boleh buat apa yang lelaki boleh buat', sehingga tanggungjawab keibuannya terpaksa diserahkan pula kepada pihak ketiga, bukankah ini mampu menggugat kestabilan sistem kekeluargaan?

Seperti alam yang sudah diciptakan Allah cukup sempurna, kemudian diusik2 oleh manusia atas nama kemajuan, tetapi tidak pula dibuat dengan berpada2, pastinya menyebabkan pelbagai bencana. Kebiasaanya, ibu2 yang lebih cenderung mengorbankan diri untuk kerjaya berbanding keluarga akan bersifat defensive mengatakan keadaan keluarga mereka amat baik, hubungan dengan anak2 amat baik ... tetapi betulkah ini bukan kata2 'menyedapkan hati'? Jika anda adalah golongan ini yang benar2 boleh melakukannya (lebih masa & keringat untuk kerjaya, tetapi masih mampu menjalankan peranan anda sebagai ibu & isteri dengan baik), sila kongsi resepi kejayaan anda dengan saya ... saya memerlukannya!


APAKAH DEFINISI WANITA HEBAT

Adakah wanita perlu buktikan yang wanita boleh lakukan apa sahaja yang lelaki boleh lakukan (sebagaimana yang sering dilaung2kan oleh tokoh2 wanita tertentu)? Bagi saya, TIDAK perlu. Bidaslah kata2 saya ini tetapi saya tidak merasakan dengan berjaya menjawat jawatan tinggi di tempat kerja dengan menghabiskan begitu banyak masa untuk kerjaya, sedangkan urusan keibuan diserahkan kepada orang lain menjadikan wanita itu 'wanita hebat'. Adakah adil untuk kita katakan bahawa wanita yang menjadi CEO sebuah syarikat sedangkan anak2nya terjerumus di dalam masalah sosial adalah lebih hebat daripada seorang surirumah sepenuh masa yang berjaya mendidik anak2 menjadi anak2 yang soleh/solehah yang cemerlang secara keseluruhannya? Normanya, kita akan kata "tidak adil", tetapi adakah ia benar2 lahir dari hati? Adakah kita sebenarnya masih memandang rendah kepada golongan surirumah sepenuh masa tanpa kita sedar, dan mengagung2kan golongan wanita korporat?

Bukankah tanggungjawab wanita yang sudah berkahwin itu #1 adalah anak2 & suami, dan mencari nafkah itu adalah tanggungjawab utama lelaki? Adakah kita mengatakan formula ini tidak lagi relevan untuk zaman ini ... dan tidakkah itu menyumbang kepada lahirnya generasi mat rempit, penagih, samaada golongan miskin mahupun kaya? Saya tidak mahu menjadi 'wanita besi' jika ia bermaksud saya terpaksa korbankan apa yang seawajarnya diperolehi oleh anak2 dari ibunya. Saya tidak mahu korbankan saat2 manis ibu dan anak sewaktu anak2 sedang membesar dan hanya merenung kembali ketika ia sudah terlewat & anak2 sudah mula memiliki kehidupan mereka sendiri.

Saya masih mencari formula menjadi seorang ibu cemerlang dan mengharapkan agar kerjaya saya kini tidak sesekali menggugat peranan saya sebagai seorang ibu & isteri. Kerana apa saja formulanya, hasil yang diinginkan adalah anak2 yang soleh/solehah, yang cemerlang & rumahtangga yang bahagia dan dirahmati Allah.